Salah laku akademik adalah tindakan mendapatkan atau cuba untuk mendapatkan atau membantu orang lain untuk mendapatkan atau cuba untuk mendapatkan manfaat dalam bidang akademik yang tidak adil dalam proses dan hasil penyiapan tugas universiti, penilaian, atau sebarang aktiviti lain yang mengancam integriti pendidikan dan penyelidikan.
Plagiarisme
Plagiarisme adalah satu bentuk tipu helah akademik yang berpunca daripada sikap tidak jujur, tidak amanah, bercakap bohong dan tidak menghormati rakan sebaya. Aktiviti plagiat ini berlaku dalam situasi dimana seseorang itu mencuri idea orang lain tanpa menyenaraikan sumbernya, menunjukkan seolah-olah idea tersebut adalah idea dirinya sendiri. Ini boleh berlaku dalam situasi berikut:
- Seseorang itu secara bulat-bulat mengambil idea, setiap perkataan daripada artikel atau buku yang diterbitkan
- Seseorang itu menggunakan ayat sendiri dengan mengambil idea daripada artikel atau buku yang telah diterbitkan tetapi tidak meletakkan sumber mengikut format yang ditetapkan
- Seseorang itu mengambil dan menggunakan idea daripada perbincangan dalam persidangan, seminar atau webinar, forum, ceramah atau perbincangan santai antara dua pihak atau lebih
- Seseorang itu menggunakan data, jadual, imej atau sebarang bahan ilustrasi lain yang diperolehi daripada pihak lain sebagai hak milik sendiri
Ringkasnya, plagiarisme adalah perbuatan menggunakan idea, hasil penyelidikan, hasil atau karya orang lain tanpa pengiktirafan seperti menyenaraikan sumber dengan format yang betul bagi memberikan kredit kepada pemilik hasil kerja tersebut.
Jenis-jenis salah laku akademik & plagiarisme
Salah laku akademik termasuk tetapi tidak terhad kepada:
- Plagiarisme
- Meniru
- Menghantar hasil kerja yang sama bagi beberapa kursus yang berbeza tanpa kebenaran daripada pensyarah atau koordinator kursus
- Berlakon menjadi orang lain dalam proses menjalani dan menjawab ujian atau peperiksaan
- Membuat perbincangan bagi menyelesaikan tugas, ujian dan peperiksaan tanpa kebenaran pensyarah atau koordinator kursus
- Membeli atau menggunakan kaedah-kaedah lain bagi mendapatkan kertas ujian atau tugasan
- Mencipta sesuatu dengan tujuan untuk memperdaya, memberikan maklumat yang tidak benar atau mengelirukan atau memalsukan rekod akademik atau dokumen sokongan.
Plagiarisme termasuk tetapi tidak terhad kepada:
- Membentangkan hasil atau penyelidikan orang lain sebagai hasil kerja sendiri
- Menggunakan idea, data eksperimen, bahan penyelidikan atau analisis perbincangan tanpa memberikan pengiktirafan yang wajar kepada sumber asal
- Menggunakan sebarang perkataan atau idea tanpa menyenaraikan sumber asal seperti artikel atau buku yang telah diterbitkan, rajah, bahan audio dan multimedia lain, hasil seni, artifak atau apa apa karya yang berkait dengan tugasan yang diciplak
- Apa-apa perbuatan lain yang dianggap berkait dengan plagiarism dan penipuan mengikut pihak berkuasa di universiti.
Cara untuk mengelak salah laku akademik dan plagiarisme
- Menggunakan ayat dan idea sendiri dalam proses menyiapkan tugasan, ujian atau peperiksaan
- Jangan menyalin bulat bulat idea yang diekstrak daripada sumber dalaman atau luaran sebaliknya cuba untuk merumuskan atau menggunakan ayat lain
- Memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pemilik hasil karya dengan menggunakan ‘in-text citation’ dan membuat bibliografi untuk menyenaraikan semua sumber rujukan
- Menggunakan platform ‘Turnitin’ yang menunjukkan peritus plagiarisme bagi mengelakkan salah laku akademik seperti ini terjadi dan menegakkan integriti pembelajaran di dalam universiti. Peratus persamaan seharusnya tidak melebihi peratusan yang ditetapkan fakulti masing masing seperti 10% dan sebagainya.
Cara untuk melaporkan salah laku akademik dan plagiarisme
Segala aduan boleh dibuat melalui pelbagai saluran, seperti:
Melalui e-mel
Melalui panggilan telefon
+603-7967 3400/ +603-7967 7853/ +603-7967 7934/ +603-7967 7910
Melalui faks
+603-7955 2975
Melalui surat atau penghantaran dokumeN
Integrity Unit, Office of the Vice-Chancellor,
Level 9, Chancellery Building,
Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur,
Malaysia.
Level 9, Chancellery Building,
Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur,
Malaysia.
'Walk-in'
Pihak yang membuat aduan boleh meminta untuk berjumpa dengan pegawai di alamat yang tertera di atas. Temujanji boleh dibuat melalui nombor ini:
+603-7967 3400/ +603-7967 7853/ +603-7967 7934/ +603-7967 7910
+603-7967 3400/ +603-7967 7853/ +603-7967 7934/ +603-7967 7910
Melalui borang atas talian
- docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfB0H6bMWEa2D-gKnmnGI_4ITC5vfm5Z-9NBvHucJfjgpgWfA/viewformBorang Aduan Unit Integriti
- Atau imbas kod QR di bawah menggunakan telefon bimbit
Proses pengendalian salah laku akademik atau plagiarisme
Hasil Kerja Akademik
Hasil kerja kursus pelajar atau calon bagi penilaian kursus
- Hasil kerja termasuklah kerja yang disediakan secara persendirian atau secara berkumpulan dalam bentuk tugasan, kertas projek, rekabentuk, program berkomputer, laporan makmal atau penyelidikan dan lain-lain. Selain itu, laporan bagi projek penyelidikan juga dikategorikan sebagai hasil kerja.
- Borang Aduan Kes Plagiat yang diterima oleh Ketua PTj harus dikemukakan kepada pensyarah kursus berkenaan dengan kadar segera.
- Dalam tempoh satu minggu, pensyarah kursus tersebut hendaklah menyerahkan laporan kepada Ketua PTj dengan mengisi Laporan Plagiat tentang hasil kerja yang diselesaikan oleh pelajar atau calon
- Dalam tempoh satu minggu selepas menerima laporan plagiat, Ketua PTj hendaklah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada pelajar atau calon sekiranya hasil kerja pelajar atau calon tersebut dibuktikan mempunyai asas plagiat yang melebihi peratus indeks persamaan bagi PTj. Namun sekiranya tiada elemen plagiat atau peratus di bawah indeks persamaan bagi PTj, Ketua PTj seharusnya memberitahu pihak yang mengadu tentang keputusan tersebut
- Dalam satu minggu dari tarikh menerima surat tunjuk sebab, pelajar atau calon mesti membuat penyerahan penjelasan bertulis
- Setelah maklum balas daripada pelajar atau calon telah diterima oleh Ketua PTj, JKSP (Jawatankuasa Siasatan Plagiat) PTj harus dibentuk. Dalam kes kes plagiat yang dapat dibuktikan, JKSP harus memutuskan untuk memberikan markah sifar kepada pelajar atau calon, atau merujuk mereka kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar. Tetapi sekiranya kes plagiat tidak dapat dibuktikan, JKSP perlu memaklumkan Ketua PTj. Ketua PTj seterusnya mesti meminta pensyarah kursus tersebut membuat pemeriksaan semula bagi kerja atau tugasan tersebut dan markah sewajarnya harus diberikan
- Selewat-lewatnya dua minggu selepas menerima laporan plagiat, laporan JKSP seharusnya disampaikan kepada Ketua PTj
- Ketua PTj haruslah memaklumkan pelajar atau calon dan pengadu berkenaan keputusan JKSP. Sekiranya kes plagiat tersebut dapat dibuktikan, seharusnya ia dilaporkan dalam mesyuarat PTj
- Pelajar atau calon berhak untuk membuat rayuan terhadap keputusan mesyuarat PTj. Rayuan hendaklah dihantar kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar, bersama-sama dengan salinan kepada Ketua PTj
Pemeriksaan Disertasi/ Tesis
- Sekiranya pemeriksa berpendapat bahawa disertasi atau tesis yang dikemukakan untuk peperiksaan oleh calon ijazah tinggi mengandungi unsur plagiarisme, pemeriksa harus membuat laporan kepada Jawatankuasa Pemeriksa
Laporan mengenai perbuatan plagiarisme yang disyaki mesti dibuat dalam borang laporan peperiksaan, bersama-sama dengan bukti sumber asal yang diciplak atau diplagiat- Laporan itu akan disiasat oleh Jawatankuasa Pemeriksa. Semasa viva voce, Jawatankuasa Pemeriksa boleh meminta penjelasan daripada calon berkenaan dengan disertasi atau tesis. Di dalam situasi PTj yang tidak mengamalkan viva voce, Jawatankuasa Pemeriksa mesti menghantar surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan bertulis daripada calon mengenai laporan yang telah diterima
- Jika Jawatankuasa Pemeriksa memerlukan siasatan tambahan dijalankan, Jawatankuasa Pemeriksa hendaklah mengemukakan laporan tersebut kepada Jawatankuasa Khas Siasatan (JKKS) yang ditubuhkan oleh Ketua PTj
- Setelah laporan diterima, JKKS hendaklah membuat siasatan dan mengemukakan surat tunjuk sebab kepada calon tersebut untuk mendapatkan penjelasan. Dalam tempoh dua bulan, laporan dan perakuan JKKS hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemeriksa untuk semakan dan keputusan. Dalam situasi di mana kes plagiat dapat dibuktikan, Jawatankuasa Pemeriksa mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada calon diberi keputusan kajian lanjut atau gagal. Jawatankuasa Pemeriksa boleh merujuk calon kepada Jawatankuasa Tatatertib Universiti selaras dengan kesesuaian kes. Tetapi dalam situasi di mana kes plagiat tidak dapat dibuktikan selepas menyiasat, Jawatankuasa Pemeriksa hendaklah memutuskan tesis atau disertasi yang dikemukakan dengan mematuhi peruntukan Peraturan dan Peraturan Universiti Malaya yang mengawal program pengajian calon
- Penemuan dan keputusan Jawatankuasa Pemeriksa haruslah dilaporkan dalam mesyuarat Fakulti dan Senat
- Keputusan Senat haruslah dimaklumkan kepada calon. Calon mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan Fakulti dan/atau Senat mengikut tatacara dan langkah yang ditetapkan di Bahagian Rayuan iaitu Rayuan Semakan Semula Keputusan Peperiksaan Tesis atau Disertasi di dalam Kaedah-Kaedah dan Peraturan-Peraturan Universiti Malaya yang mengawal tahap pengajian berkenaan
GraduaN
Dalam kes-kes yang melibatkan graduan dengan unsur plagiarisme, proses pengendalian hendaklah dibuat berdasarkan Prosedur Kerja Pengendalian Pelucutan Ijazah, Diploma, Sijil dan Kepujian Akademik Lain Yang Telah Dianugerahkan kepada Siswazah Universiti Malaya Atas Alasan Plagiat
Penerbitan
Penerbitan oleh pelajar atau calon
- Setelah menerima borang Aduan Kes Plagiat, Ketua PTj dengan kadar segera haruslah menyerahkannya kepada pensyarah atau penyelia pelajar atau calon tersebut
- Dalam tempoh seminggu, pensyarah atau penyelia hendaklah mengemukakan laporan kepada Ketua PTj dengan mengisi Laporan Plagiat mengenai hasil penerbitan pelajar atau calon
- Sekiranya hasil penerbitan mengandungi unsur plagiarisme, Ketua PTj hendaklah menghantar surat tunjuk sebab kepada pelajar atau calon dalam tempoh seminggu selepas menerima laporan plagiat. Sekiranya unsur plagiarisme tidak dapat dikenal pasti dan dibuktikan, Ketua PTj hendaklah memaklumkan keputusan tersebut kepada pengadu
- Dalam tempoh satu minggu selepas menerima surat tunjuk sebab, pelajar atau calon harus mengemukakan penjelasan bertulis.
- Sebaik sahaja Ketua PTj menerima maklum balas daripada pelajar atau calon, JKSP PTj harus diwujudkan. Sekiranya kes plagiat dapat dibuktikan, JKSP boleh memperakukan kepada Ketua PTj agar menolak penerbitan berkenaan untuk memenuhi syarat pengijazahan calon atau keperluan kursus pelajar. Tetapi, sekiranya kes plagiat tidak dapat dibuktikan, PTj harus menerima penerbitan pelajar atau calon.
- Selewat-lewatnya dua minggu selepas menerima laporan plagiat, laporan JKSP hendaklah dihantar kepada Ketua PTj
- Pelajar/calon dan pengadu akan dimaklumkan tentang keputusan JKSP. Pelajar berhak membuat rayuan terhadap keputusan JKSP kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
Penerbitan oleh Staf Akademik
Sekiranya terdapat sebarang penerbitan yang dikemukakan oleh staf akademik bagi memenuhi keperluan syarat perkhidmatan yang disyaki mempunyai unsur plagiat, ia hendaklah dilaporkan kepada Unit Integriti oleh Ketua PTj untuk tindakan selanjutnya.
Penalti
Plagiarisme merupakan salah satu kesalahan akademik yang serius. Sekiranya dibuktikan terlibat dalam aktiviti plagiat, ia boleh membawa kepada hukuman yang serius kepada pelajar, seperti:
- Diberikan gred “Gagal” untuk kerja kerja yang diplagiat seperti tugasan akademik, projek atau tesis
- Digantung sesi pembelajaran untuk satu semester atau satu sesi akademik
- Dibuang daripada universiti
- Ijazah yang telah diterima dibatalkan
Dikarang oleh: Deanna F. Eizlyn binti Khairul Herman