Pengarangan oleh: Liew Liang Hong
Terjemahan oleh: Chia Jia Xuan Aktivisme mahasiswa tidak terpisah daripada organisasi mahasiswa. Setiap organisasi mempunyai mod, struktur dan kaedah yang berbeza. Ada yang Ada yang mengendalikan penerbitan jurnal, ada yang menguruskan kumpulan komuniti, ada yang tertumpu pada melobi. Tiada satu formula tetap bagi aktivisme mahasiswa. Selagi bertabah, mementingkan kerjasama organisasi, mengekalkan pemikiran terbuka dan menambahbaik diri sendiri, semua cara adalah bersesuaian. Artikel ini adalah untuk mahasiswa yang aktif dalam aktivisme mahasiswa dan politik kampus, termasuk mereka yang menyertai Pilihanraya Kampus mahupun mereka yang sedang membina semula Kesatuan Mahasiswa. Artikel sebelum ini mengatakan aktivis mahasiswa perlu mengambil peluang pada masa ini untuk mendirikan sebuah sistem atau budaya yang tidak boleh diubah supaya kumpulan mahasiswa seterusnya dapat mara ke hadapan dalam aspek demokrasi kampus. Secara praktikal, ia tidak dapat terpisah daripada politik kampus terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kita perlu mengetahui secara spesifik perubahan yang kita ingini. Saya ingin memetik slogan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang berbunyi “Campus Democracy, Student Autonomy” untuk membincangkan prospek revolusi institusi pengajian tinggi. Secara logiknya, autonomi mahasiswa berkait rapat dengan autonomi universiti dan tanpanya autonomi universiti, maka sukarlah untuk mewujudkan autonomi mahasiswa dalam sesebuah institusi pengajian tinggi.Selain daripada kedua-dua elemen ini, kebebasan akademik merupakan permintaan masyarakat yang lebih umum. Secara amnya, autonomi universiti secara merujuk kepada kebebasan pengurusan universiti dalam penyelidikan, kewangan, pengambilan pelajar, mengupah staf dan ahli akademik, pengurusan kemudahan, penyusunan silibus dan sebagainya tanpa campur tangan daripada pihak luar. Manakala autonomi mahasiswa berdasarkan prinsip “mahasiswa mengurus hal ehwal mahasiswa” di mana mahasiswa berhak untuk mengurus kampus bersama pihak pengurusan dan melindungi kebebasan mahasiswa seperti kebebasan berpersatuan, bersuara, penerbitan dan penyertaan politik. . Di sini kebebasan akademik tidak akan diterangkan kerana ia telah membawa maksud yang cukup jelas. Aktivisme mahasiswa mempunyai tugas untuk mengejar ketiga-tiga hak ini tetapi artikel ini hanya akan tertumpu pada aspek autonomi mahasiswa kerana ia adalah relevan dengan banyak situasi kini bagi mahasiswa. Setiap universiti awam mahupun swasta pasti mempunyai MPP yang dilantik melalui pilihan raya atau pelantikan untuk menjadi jambatan antara pihak pengurusan dengan mahasiswa. MPP yang mempunyai sumber yang berlebihan boleh menggerakkan sedikit rancangan seperti kebajikan, bengkel dan lawatan sambil belajar. Namun begitu, sejak perubahan kuasa pusat pada tahun 2018, munculnya banyak grey area dalam aktiviti mahasiswa. Pada bulan September 2018, saya bersama rakan seperjuangan (termasuk pengasas Suara Siswa UM) meminta peluang perjumpaan bersama Menteri atau Pengarah Pengajian Tinggi untuk mengelakkan Universiti Malaya (UM) daripada mengadakan pilihan raya kilat (snap election). Setelah itu, dalam perbincangan tegang antara Gerakan Pembebasan Akademik (GPA-IPT) dan bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik, kami menyerahkan kertas cadangan reformasi pilihan raya kampus kepada Maszlee Malik. Tidak lama kemudian, Maszlee Malik mengumumkan penundaan pilihan raya di semua universiti sehingga jawatankuasa pilihan raya kampus didirikan. University of Malaya Campus Election Committee (UMCEC) merupakan jawatankuasa pilihan raya pertama yang didirikan dan dicontohi oleh universiti lain. Melihat semula pada pembentukan UMCEC, ia merupakan langkah awal dalam pendemokrasian universiti, menghidupkan semula sistem kesatuan dan mulai mengikuti jejak sistem politik negara di mana ia merupakan titik permulaan yang menandakan pengasingan kuasa di dalam sesebuah kampus. Terdapat banyak Kesatuan Mahasiswa yang menggunakan prinsip pengasingan kuasa tetapi terdapat juga sesetengah yang menggunakan sistem yang lebih mudah, seperti The Chinese University of Hong Kong (CUHK) yang menggunakan struktur [Legislatif + Eksekutif]. Sejak reformasi pilihanraya kampus, mahasiswa dapat menikmati lebih banyak peluang untuk mentadbir universiti seperti Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) yang bertukar nama kepada Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan mampu mengambil alih kuasa pengurusan dalam beberapa aspek yang lain. Walaupun mahasiswa sudah mempunyai beberapa kuasa (yang dipersetujui oleh kerajaan dan pentadbiran universiti secara tidak langsung), autonomi mahasiswa merupakan satu sasaran yang belum tercapai kerana kuasa-kuasa gray area ini hanya berlaku di beberapa universiti sahaja. Di universiti lain, pembaharuan sistem adalah tidak menyeluruh mahupun tiada perubahan langsung. Selagi Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU) tidak dimansuhkan, pertukaran nama daripada MPPUM kepada KMUM adalah tidak terjamin bawah undang-undang. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh membuat arahan pada bila-bila masa untuk membatalkan semua gray area itu. Dengan merampas hak wakil mahasiswa terlibat dalam urusan universiti (eksekutif), mereka juga susah untuk memainkan peranan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (legislatif) dan Majlis Kehakiman Kesatuan (judisiari). Akhirnya, hanya segelintir aktivis mahasiswa yang mahukan reformasi sistem, mahasiswa yang menjadi boneka universiti dan mahasiswa yang ingin menambahbaikkan resume sendiri yang akan kekal dalam sistem, kebanyakan mahasiswa tidak akan berminat pada suatu organisasi yang tiada pengaruh terhadap urusan universiti. Sekiranya mahasiswa tidak mempunyai platform yang bersesuaian, aktivisme mahasiswa akan menjadi tidak bermaya dan saya berpendapat inilah faktor yang menjadikan perkembangan aktivisme mahasiswa di Malaysia terbantut. Kini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sibuk dengan perebutan kuasa dan ia bukan sesuatu yang mustahil bagi mereka untuk membatalkan semua perkembangan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Kita masih mempunyai prospek yang agak luas kerana masih dapat menjalankan aktiviti di ruangan yang telah dibuka. Kepada mereka yang berhasrat menyertai pilihanraya kampus mahupun mereka yang menjadi wakil mahasiswa, autonomi mahasiswa bermula daripada tempat berkumpul mahasiswa untuk menjalinkan kita semua. Sebagai salah seorang pengarang manifesto Suara Siswa pada sesi 2020/21, saya akan berkongsi sedikit nasihat untuk mengukuhkan kedudukan Kesatuan Mahasiswa. 1. Jawatankuasa Pilihanraya Kampus yang bebas Walaupun banyak universiti telah membentuk Jawatankuasa Pilihanraya Kampus yang terdiri daripada mahasiswa tetapi ada juga yang belum melaksanakannya. Ada juga pihak pengurusan yang hanya membenarkan mahasiswa membantu dalam urusan pentadbiran, tetapi bukannya menyerahkan kuasa untuk menentukan mod dan implementasi pilihan raya kepada mahasiswa. Ini ialah suatu kesilapan kerana tujuan reformasi adalah untuk memulangkan kuasa menganjurkan pilihan raya kepada mahasiswa secara sepenuhnya dan membenarkan mereka belajar pengurusan diri dan kampus. Sesetengah universiti turut mengekalkan peraturan yang tidak masuk akal seperti larangan poster yang berwarna-warni atau tempoh berkempen yang berlangsung sepanjang tiga hari sahaja. Sekiranya mahasiswa mahukan autonomi, mereka perlu merampas semula kuasa menganjurkan pilihan raya dengan mendirikan jawatankuasa yang bebas dan menetapkan peraturan yang masuk akal. 2. Bertanding dalam pilihan raya dengan prinsip Kerajaan Mahasiswa (Student Government)* Ramai mahasiswa tidak memahami konsep autonomi mahasiswa. Jadi, kita perlu menjelaskan dengan kaedah yang mudah. Contohnya, Kerajaan Mahasiswa, kita perlu menerangkan dengan mudah bahawa mahasiswa berhak untuk mentadbir universiti bersama pihak pengurusan, terlibat dalam mesyuarat pihak pengurusan, menguruskan kemudahan tertentu, mengagihkan ruangan mahasiswa manakala pihak pengurusan perlu mengambil kira pendapat mahasiswa dalam membuat keputusan. 3. Memastikan penglibatan mahasiswa Sekiranya pasukan anda berjaya menawan kerusi majoriti, perkara seterusnya ialah perbincangan mengenai pembentukan Kabinet (Exco). Selain Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari, jawatan lain bergantung pada budi bicara. Kesatuan Mahasiswa akan mendirikan jawatankuasa tetap yang penting lalu mencari ahli jawatankuasa daripada kalangan mahasiswa setelah pembentukan Kabinet diselesaikan. Bilangan ahli jawatankuasa boleh ditetapkan berdasarkan keperluan portfolio. Struktur ini bertujuan untuk memastikan operasi Kesatuan Mahasiswa tidak menjadi milik berpuluh-puluh orang wakil mahasiswa sahaja tetapi membolehkan mahasiswa biasa untuk turut menyertai dalam kerajaan tersebut. Selain daripada jawatankuasa tetap, Kesatuan boleh mendirikan jawatankuasa khas atau task force mengikut keperluan semasa dan pada yang sama, penubuhan pasukan operasi ad-hoc atau jawatankuasa khas juga perlu memberikan fokus kepada kemampuan sedia ada bagi mengelakkan daripada kegagalan dalam pengurusan. 4. Operasi yang profesional MPP biasanya akan memiliki sebuah pejabat urusan untuk operasi harian. Sebagai langkah menghidupkan semula budaya Kesatuan Mahasiswa, adalah penting untuk memastikan atmosfera yang positif termasuklah disiplin, mod kerja, format persuratan dan penyimpanan dokumen serta kebersihan bilik. Selain itu, setiap jawatankuasa tetap harus menyiapkan kertas cadangan tahunan dalam masa dua minggu lalu bermula mencari ahli jawatankuasa dan mengadakan latihan. Perkara ini adalah rumit tetapi penting untuk meneruskan budaya Kesatuan Mahasiswa. Tanpa asas tersebut, pengganti pada masa akan datang akan terpaksa bermula daripada awal. 5. Mementingkan kebajikan mahasiswa Dalam artikel sebelum ini, saya seperti menafikan kepentingan untuk menjaga kebajikan mahasiswa, tetapi ia adalah tidak benar. Sebaliknya, saya sangat bersetuju dengan Kesatuan Mahasiswa yang memainkan watak proaktif dalam menguruskan hal ehwal kebajikan mahasiswa. Saya juga berpendapat bahawa ramai MPP di seluruh negara yang menjadi lebih proaktif dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa setelah tahun 2018. Saya hanya ingin mengkritik fenomena sesetengah MPP yang sekadar mementingkan kebajikan tetapi mengabaikan kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa. Sudah tentu Kesatuan Mahasiswa harus memperjuangkan kebajikan mahasiswa kerana ia dapat (i) menambahbaik keadaan mahasiswa, (ii) menjalinkan hubungan antara Kesatuan dengan mahasiswa dan (iii) memperkukuh kedudukan Kesatuan dalam minda mahasiswa. Ia mungkin adalah lebih efektif daripada pengedaran flyer. KMUM mempunyai kekuatan dalam menggerakkan isu kebajikan termasuklah pemulangan yuran pengajian, mencari penaja untuk mengedarkan barangan dan membekalkan tempat tinggal murah kepada mahasiswa. 6. Mendapatkan hak pengurusan kemudahan Sekiranya anda pernah mendengar kisah kegemilangan KMUM pada tahun 70-an, anda akan tahu bahawa betapa berkuasanya Kesatuan Mahasiswa pada ketika itu. Mereka mengendalikan sebuah bangunan, mendirikan koperasi untuk menjual alat tulis dan membekalkan perkhidmatan bas kepada para mahasiswa (Ya, dengan menggunakan peruntukan KMUM). Pada peringkat ini, sudah pasti kita tidak dapat memulihkan tahap autonomi yang begitu tinggi, tetapi kita masih mempunyai ruangan untuk penambahbaikan. Sebagai contoh, selain daripada pejabat urusan sendiri, KMUM juga menguruskan sebuah dewan mini, bilik mesyuarat dan beberapa Rumah Sewa KMUM, mereka turut mempunyai sebahagian kuasa dalam merancangkan Minggu Haluan Siswa (MHS) dan mengambil alih kuasa pentadbiran Kompleks Perdana Siswa (KPS) daripada pihak pengurusan secara berperingkat. Berkenaan perkhidmatan bas pula, kebiasaanya pihak pengurusan akan enggan untuk bekerjasama, kita harus menjadikannya sebagai rancangan jangka panjang buat masa ini. 7. Mengambil alih kuasa meluluskan aktiviti kelab dan persatuan Selama ini, permohonan untuk menjalankan aktiviti kelab dan persatuan diluluskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Namun, sistem yang sedia ada dikutuk disebabkan efisiensi yang amat rendah. Setelah KMUM mengambil alih tugas ini pada tahun 2019, ia hanya mengambil masa tiga hari untuk meluluskan permohonan. Ini bukan sahaja dapat memudahkan mahasiswa, mengurangkan beban pihak pentadbiran (yang mungkin tidak berapa suka kerja mereka), tetapi KMUM turut mampu memperolehi pengalaman dalam mencapai autonomi mahasiswa. Para wakil mahasiswa harus berunding dengan pihak pengurusan mengenai perkara ini dengan serius. 8. Mendirikan gabungan kelab dan persatuan Gabungan merujuk kepada kelab dan persatuan dalam kampus bergabung mengikut kategori. Gabungan ini akan melantik ahli jawatankuasa melalui Annual General Meeting (AGM) dan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu yang berkenaan. Hong Kong University (HKU) mendirikan tiga gabungan iaitu Cultural Association, Sports Association dan Independent Clubs Association. Selain daripada menggabungkan suara mahasiswa, gabungan ini mempunyai dua fungsi yang lain iaitu pengurusan rungan aktiviti dan pelantikan wakil ke dalam MPP (akan dibincangkan kemudian). 9. Pilihanraya Kolej Kediaman Setiap kolej kediaman mempunyai Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) masing-masing tetapi kebanyakan JTK tidak mengamalkan prosedur demokrasi di mana Pengetua Kolej akan melantik JTK secara terus. Hal ini menyebabkan pentadbiran JTK kekurangan akauntabiliti dan ketelusan. UMCEC telah memulakan Pilihanraya Kolej Kediaman pada tahun 2020 tetapi terpaksa dihentikan akibat MCO. Justeru, adalah diharapkan agar reformasi ini dapat diteruskan. 10. Media mahasiswa Media mahasiswa bukannya merujuk kepada kumpulan Whatsapp mahupun Telegram yang digunakan untuk menyebarkan informasi KMUM tetapi bermaksud platform yang khas untuk melaporkan berita kampus seperti surat khabar, stesen radio dan saluran Internet. Ini bukan perkara luar biasa dalam sejarah negara kita kerana KMUM pernah mengadakan surat khabar Mahasiswa Negara. Setelah itu, kebanyakan bahan bacaan Kesatuan bertukar menjadi bahan bacaan bulanan yang mengandungi mesej ringkas Kesatuan, aktiviti kelab persatuan, aktiviti sosial tempatan, karya, seni, artikel dan laporan khas yang tertumpu pada isu hangat. Bagi saluran Internet pula, cara siaran langsung atau rakaman video digunakan untuk melaporkan berita hangat Misalnya, semasa demonstrasi membantah Extradition Bill di Hong Kong, terdapat ramai wartawan mahasiswa yang paling berani saya pernah jumpai, sungguhpun mereka terkena gas pemedih mata yang diloncarkan oleh polis hitam, mereka masih bersikeras untuk melaporkan berita terkini di barisan hadapan dengan memakai topeng gas. Setahu saya, UTAR Sg Long telah mendirikan VOX The Student Press manakala KMUM telah mendirikan UMSU Press yang sering menganjurkan perbincangan. 11. Mengambil alih dan mengubah pusat kegiatan mahasiswa Kebanyakan masa pusat kegiatan mahasiswa tidak digunakan sepenuhnya. Sebagai contoh, di UM, bilangan pengguna KPS lebih sedikit berbandingkan lokasi lain kerana mahasiswa tiada sebab untuk pergi ke KPS. Peniaga tidak sanggup membuat penyewaan dan seterusnya mengakibatkan KPS kehilangan peluang untuk membekalkan perkhidmatan penting. Saya berpendapat bahawa setiap Kesatuan Mahasiswa mempunyai tugas untuk mengambil alih kuasa pengurusan pusat kegiatan mahasiswa daripada pihak pengurusan. Suatu pusat kegiatan mahasiswa yang ideal perlu diuruskan oleh mahasiswa sendiri dan ia perlu beroperasi 24 jam (Ya, 24 jam). Selain itu, ia harus menjadi pusat kepada perkhidmatan yang diperlukan oleh mahasiswa seperti kedai buku berkualiti, bank, medan selera yang berbagai-bagai, kedai pencetakan dan fotostat, kedai gunting rambut, kedai serbaneka dan pejabat pos (kafe dan restoran makanan segera akan lebih memuaskan). Seterusnya, pusat ini perlu merizabkan ruangan aktiviti bagi setiap gabungan kelab dan persatuan pada setiap tingkat dan menyerahkan kuasa penggunaan ruangan dan stor kepada gabungan. Akhir sekali, penting juga untuk menyediakan dinding demokrasi dan dataran demokrasi yang membolehkan mahasiswa menyuarakan pendapat dan suara hati. Lebih baik kalau mencontohi The Chinese University of Hong Kong yang membenarkan mahasiswa menulis sajak pada gelas. 12. Reformasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kita mempunyai MPP yang dilantik melalui undian. un, pihak KPT yang “arif lagi bijaksana” melepaskan anak di dukungan demi kera di hutan, dengan menubuhkan “Parlimen Mahasiswa” dan meneruskan kewujudan MPP pada masa yang sama, di mana ia merangkupi kolej kediaman serta persatuan-persatuan. Sebenarnya, kalau ingin memperluaskan perwakilan siswa, kita cuma perlu sahaja merombak dan menggubal cara penubuhan MPP dengan memperuntukkan kuota kerusi tertentu kepada gabungan kelab dan persatuan serta wakil kolej kediaman. Namun, sekiranya sistem Kesatuan ingin dirombak semula, MPP perlu diubah dan diberikan kuasa termasuk kuasa mendirikan jawatankuasa tetap yang penting (seperti CEC, MHS, isu semasa dan task force yang lain) dan kuasa untuk meluluskan bajet tahunan Kabinet KMUM. Cadangan ini amat susah dicapai kerana secara teorinya, semua organisasi mahasiswa perlu digabungkan di bawahnya dan hubungan akauntabiliti antara Legislatif dan Eksekutif perlu dibentuk, tetapi kita boleh laksanakannya secara beransur-ansur. 13. Terlibat dalam mesyuarat pihak pentadbiran Mengenai perkara ini, banyak universiti yang telah melantik dua orang wakil daripada MPP ke dalam Senat Universiti untuk menyertai mesyuarat pihak pentadbiran (sekiranya masih ada universiti yang melarang, sila memberitahu secepat mungkin kerana ini ialah sesuatu yang dibenarkan oleh KPT sebelum ini). * Kesatuan perlu memperjuangkan peluang untuk melibatkan diri dalam mesyuarat bahagian lain yang penting seperi Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta Benda, Bendahari, Akademik dan Hal Ehwal Pelajar. Melalui cara ini, barulah Kesatuan dapat mengetahui rancangan pihak pentadbiran seawal mungkin dan bertindak dengan sewajarnya. Kesimpulannya, saya perlu menyatakan artikel ini bukannya bersifat akademik dan penyeragaman terhadap sistem Kesatuan Mahasiswa tetapi ia sekadar beberapa cadangan berdasarkan pengalaman saya yang boleh digunakan untuk mengukuhkan kekuatan Kesatuan Mahasiswa yang ingin melakukan reformasi sistem atau kekuatan mahasiswa pro-demokras. Contoh yang dipetik daripada Kesatuan Mahasiswa negara asing turut tidak menyeluruh dan tidak boleh mewakili rupa sebenar sistem Kesatuan Mahasiswa di pentas antarabangsa. *Kerajaan Mahasiswa (Student Government), panggilan terhadap Kesatuan Mahasiswa di Amerika Syarikat, biasanya dijumpai di universiti dan sekolah menengah. **Menurut pengalaman saya, bangunan Kesatuan Mahasiswa boleh dianggap sebagai miniatur sesebuah universiti. Semasa saya melawat ke The Hong Kong Polytechnic University pada tahun 2019, dinding dalam bangunan mereka adalah penuh dengan ciri-ciri yang berkepelbagaian, ia telah dicorakkan dengan poster dan sepanduk yang berbagai-bagai. Terdapat orang yang berlatih menari di suatu sudut. Pada tingkat seterusnya, terdapat ahli kelab astronomi yang sedang menulis slogan pada sepanduk. Terdapat juga mahasiswa yang berlatih koir pada pukul empat pagi. Oh! Hampir setiap bilik cawangan Kesatuan Mahasiswa akan menyediakan satu set mahjong! Jadi, saya selalu memberitahu KMUM bahawa dinding mereka adalah terlalu bersih! ***Senat Universiti merupakan badan akademik tertinggi dalam universiti yang bertanggungjawab dalam menentukan hal ehwal akademik seperti menetapkan silibus dan rancangan pembelajaran, penganugerahan ijazah serta badan yang membenarkan ahli akademik untuk terlibat dalam pentadbiran universiti. (Catatan: Artikel ini hanya merupakan pendapat diri daripada penulis dan tidak mewakili pendirian kesatuan.)
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorWrite something about yourself. No need to be fancy, just an overview. Archives
March 2023
Categories |